Friday, August 24, 2007

Ikhlas dariku untuk mereka yang bergelar "sahabat"....

Dalam dunia ini kau tidak punya sesiapa kecuali diri sendiri...tetapi dalam kau bersendiri, kau beruntung kerana mempunyai seorang sahabat yang memahami dirimu. Sebagaimana kau mengharapkan keikhlasan dan kejujuran daripada seorang sahabat, begitu juga dengan aku. Tetapi kau sering terlupa akan hal itu. Kau cuma mengambil kira tentang harapan dan perasaan kau sahaja.
Kau rasa dikhianati bila aku tidak menepati janjiku. Kau tidak memberi aku peluang untuk menerangkan keadaan sebenarnya. Bagi kau, itu alasanku untuk menutup kesilapan dan membela diri. kau terlupa, kau juga pernah membiarkanku ternanti-nanti. Kerana kau juga pernah ada janji yang tidak ditepati. Kau beri beribu alasan, memaksa aku menerima alasan kau itu.
Waktu itu, terfikirkah kau tentang perasaanku? Seperti kau, aku juga ada perasaan, tahu akan rasa kecewa...tetapi kau sering terlupa. Untungnya mempunyai seorang sahabat yang sentiasa di sisi kau pada waktu kau memerlukan aku.
Aku mendengar luahan perasaan kau, segala rasa kecewa dan ketakutan, harapan dan impian kau luahkan, dan aku memberi jalan sebagai laluan penyelesaian masalah. Selalunya kau asyik bercerita tentang diri kau hingga kadang-kadang terlupa yang aku juga ada cerita yang ingin dikongsi bersama kita.
Pernahkah kau memberi aku peluang untuk menceritakan tentang rasa bimbangku, rasa takutku?
Pernahkah kau menenangkan aku sebagaimana aku pernah menenangkan kau?
Ikhlaskah kau mendengar tentang kejayaan dan berita gembiraku? Mampukah kau menjadi sumber kekuatanku sepertimana aku meniup semangat setiap kali kau merasa kecewa dan menyerah kalah?
Dapatkah kau yakinkan aku bahawa kau boleh dipercayai,...kau boleh dijadikan tempat untuk bersandar bila terasa lemah agar tidak rebah?
Bolehkah kau menjadi bahu untukku sandarkan harapan? Sesekali jadilah sahabat yang mendengar dari yang hanya bercerita. Ambillah masa untuk memahami hati dan perasaanku, kerana aku juga seorang manusia; aku juga ada rasa takut, ada rasa bimbang, sedih dan kecewa. Aku juga ada kelemahan dan aku juga perlukan sahabat sebagai kekuatan.
Jadilah kau sahabat aku yang sebenarnya. Kau selalu melihat aku ketawa, tetapi mungkin sebenarnya aku tidak setabah yang kau sangka.
Di sebalik senyumanku itu, mungkin banyak cerita sedih yang ingin ku luahkan, di sebalik kesenanganku, mungkin tersimpan seribu kekalutan, kau tidak tahu....tetapi jika kau cuba menjadi seorang sahabat seperti aku, mungkin kau akan tahu...................

Rantau_Pelabuhan,
Idora Che Hassan,
Ogos 2006…

No comments: